Sunday, March 8, 2009

Imbas kembali (2008)

Mihas medan terbaik pacu industri halal
Berita Harian, 23 Apr 2008
PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2008 yang berlangsung pada 7 hingga 11 Mei ini adalah landasan terbaik bagi negara luar untuk memahami, sekali gus mengguna pakai persijilan halal Malaysia. Ketua Eksekutif Mihas, Mohd Shukri Abdullah berkata, persijilan halal yang dikeluarkan Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan ia mampu memacu perkembangan industri halal di seluruh dunia. Setakat ini, katanya, hanya 32 negara mengeluarkan persijilan halal mereka sendiri termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang mendapat pembabitan sepenuhnya dari kerajaan masing-masing.
"Pengiktirafan antarabangsa yang diterima bagi pengeluaran sijil halal negara ini akan memudahkan syarikat tempatan mewujudkan hubungan perniagaan dengan negara lain. "Mihas mampu menjadi landasan terbaik untuk memberi pendedahan kepada negara luar mengenai pentingnya persijilan halal, terutama dalam mempromosi dan memasarkan produk halal," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kamaruddin Hassan
Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) diberi mandat oleh Kabinet awal bulan ini bagi mengeluarkan pensijilan halal di negara ini, mengambil alih peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
HDC akan mengeluarkan sijil dan logo halal Jakim selain ia turut mendapat pengiktirafan bagi diguna pakai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Malah, mesyuarat Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di Dakar, Sudan baru-baru ini juga memutuskan supaya Malaysia menjadi pengeluar sijil halal. Mohd Shukri berkata, pasaran halal besar seperti China mempunyai kira-kira 400 badan bertindak yang mengeluarkan sijil halal, tetapi Jakim hanya mengiktiraf dua daripadanya. Bagaimanapun, menerusi Mihas 2008, katanya penganjur menyediakan pasaran terbuka kepada mana-mana negara yang mempunyai sijil halal sama ada diiktiraf Jakim atau tidak bagi menyertainya. Mengenai perkembangan Mihas 2008, Shukri berkata, setakat ini ia menerima penyertaan daripada 447 syarikat yang 344 adalah syarikat tempatan. Beliau berkata, pihaknya sudah menerima tempahan bagi semua 610 gerai pameran disediakan dengan bilangan penyertaan yang tinggi dari peserta China, Brunei, Indonesia dan Iran. "Sebanyak 61 peratus membabitkan produk makanan halal, perkhidmatan (25 peratus), pasaran modal dan kewangan Islam (empat peratus) dan produk bukan makanan (tiga peratus)," katanya. Dalam pada itu, katanya, pembabitan syarikat Bumiputra terutama dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut meningkat tahun ini berbanding 52 peratus tahun lalu.

No comments: